Murabbi Sufi Agung Yang Syahid

Aku ada layari beberapa website untuk cari sejarah Palestine, dan aku temui sejarah Syeikh Izzuddin Al-Qassam yang menjadi pejuang Islam yang dikenang oleh Umat Islam di Palestine sehingga kini. Ikuti kisahnya…
Nama Izzudin Al-Qassam sering kita dengari dari corong-corong radio atau kaca televisyen tambahan kebelakangan ini apabila Gaza diserang. Apa yang kita tahu ia adalah nama bagi sebuah briged, sayap kanan kepada HAMAS dan juga nama yang diberikan kepada roket buatan sendiri oleh HAMAS yang gunakan bagi menyerang Israel. Tahukah anda ia merupakan nama seorang ulama’ yang dikurniakan oleh Allah dengan syahid. Siapakah Izzudin Al-Qassam ini ? Apakah kehebatannya hingga menjadi kebanggaan kepada para pejuang Palestin ? Nama beliau ialah Muhammad Izzuddin Abdul Qadir Al-Qassam. Dilahirkan pada tahun 1882 M di Jibillah, Syria. Keluarganya amat berpegang kuat dengan ajaran Islam. Bapanya seorang guru Al-Quran yang mengajar anak-anak di kampung mereka membaca dan menghafaz Al-Quran. Beliau pernah menuntut di Universiti Al-Azhar di Mesir ketika berumur seawal 14 tahun sekitar tahun 1906. Sewaktu menuntut beliau sempat belajar daripada tokoh terkenal, Syeikh Muhammad Abduh r.anhu dan bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Redho. Semasa di zaman menuntut lagi beliau telah pun gigih melakukan usaha dakwah.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam adalah seorang imam, guru dan juga syeikh bagi Tariqat As-Syazuliyah di Jilah Al-Adhamiyah, sebuah wilayah di bahagian utara Syria. Beliau menggunakan ilmu dan kedudukannya untuk menerangkan kepada umat bahawa tugasnya bukan sekadar asas-asas agama Islam semata-mata tetapi juga menerangkan setiap isu yang menyentuh kepentingan umat dan negara dari sudut pandangan Islam. Kepimpinannya telah menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada Islam. Pentarbiyahan beliau telah berjaya merubah pemikiran masyarakat. Beliau juga berjaya mempamerkan kepada masyarakat makna tariqat dan tasawuf sebenarnya bahkan wirid dan ajaran tasawufnya telah berjaya menguatkan rohaninya menentang kemungkaran. Beliau juga telah menolak salah tanggap masyarakat Islam kepada tasawuf dan tariqat yang menganggap golongan tariqat dan tasawuf ini hanya duduk di masjid atau atas sejadah sambil membaca ratib tanpa mengambil tahu keadaan umat Islam.

Ketika Perancis menjajah negara Syria, beliau juga turut ikut serta dalam memerangi penjajah. Antara usahanya ialah dengan menjual rumahnya lalu membeli 34 pucuk senjata sebagai persediaan bagi menentang penjajah. Namun, perjuangan suci Syeikh Izzuddin dikhianati oleh revolusi pimpinan Ibrahim Hanano yang menyerahkan Syria kepada penjajah dan menangkap para pejuang. Revolusi tersebut berakhir dengan berlakunya pertempuran Melson pada tahun 1920. Perjuangan di Syria menjadi semakin rumit apabila penjajah Perancis menjatuhkan hukuman mati kepadanya. Beliau hanya mempunyai dua pilihan iaitu hukuman mati atau tunduk dengan kehinaan. Beliau mengambil keputusan untuk berhijrah ke Haifa di Palestin. Tujuan lain perpindahannya ke kota Haifa adalah kerana kewujudan pendatang haram Yahudi yang semakin bertambah ramai di bumi Palestin.

Syeikh Izzuddin Al-Qassam berhijrah ke Palestin kerana beliau amat memahami rancangan jahat Yahudi yang dibuat oleh Organisasi Zionis Antarabangsa di Basel, Swizland pada 29 hingga 30 Ogos tahun 1896. Mereka telah membuat resolusi untuk mendirikan sebuah negara kebangsaan untuk masyarakat Yahudi di Palestin. Beliau juga melihat pakatan sulit antarabangsa yang mendapat sokongan kaum penjajah umumnya dan British khususnya.

Di Haifa beliau tinggal di rumah Haji Amin Nuruddin dan bergiat dengan aktiviti mengajar dan berceramah di Masjid An-Nasr. Kemudiannya berpindah tugas di Masjid Al-Istiqlal iaitu masjid terbesar ketika itu. Pada tahun 1927 beliau mendirikan pejabat cawangan Jam’iyah Asy-Syubban Al-Muslimin (Persatuan Pemuda Muslim) di Kota Haifa dan bertindak sebagai pemimpinnya.

Beliau mengajak para warga Arab Palestin berbincang mengenai ancaman Yahudi ini walaupun sebahagian mereka mempunyai pendapat yang ganjil. Ini kerana ada antara mereka yang berpandangan bahawa cukup untuk menghadapi Yahudi dengan demonstrasi atau dengan perundingan sahaja. Bahkan ada yang pergi ke Britain untuk mencari jalan penyelesaian. Selama tujuh tahun digunakan oleh beliau untuk mengadakan hubungan dengan orang ramai, mengenali mereka, membina serta melatih organisasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan saat yang bakal menentukan masa depan. Dalam tempoh tujuh tahun itu juga beliau menjalankan pelbagai tugasan; guru di sekolah, pembimbing rohani di masjid, pekerja di Pejabat Syariat dan ketua pergerakan. Hubungan baik beliau dengan segenap lapisan masyarakat juga telah mengizinkan beliau memiliki dana kewangan yang kukuh.

Operasi pertamanya adalah menyerang perkampungan Yahudi Nahlal di kawasan Marj Amir. Hasilnya, ketua penjara Haifa terbunuh. Tentera Inggeris mengumumkan akan memberi hadiah 500 poundsterling bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga tertangkap atau terbunuhnya Syeikh Izzuddin. Beliau bijak melepasi buruan pasukan Inggeris. Hingga anak perempuannya yang bernama Maimunah sempat memintanya untuk ‘membuat gencatan senjata’ dan seterusnya diganti dengan cara perdamaian saja. Syeikh Izzuddin lantas marah sambil berkata, “Diamlah wahai Maimunah! Tidaklah kemuliaan tercapai dan tercabut dari segala penderitaan kecuali melalui titisan darah.”

Sementara itu, di kawasan Nashirah, Syeikh Izzuddin dan pasukannya berjaya membunuh 11 orang Yahudi. Kemarahan Inggeris terhadapnya semakin meningkat dan pelbagai operasi telah dilancarkan untuk menghentikan jihadnya tapi tetap menemui kegagalan.
Pada tahun 1931, pasukan yang beliau bentuk telah menyerang perkampungan Yahudi di Yagur. Dalam penyerangan tersebut tiga orang tentera Yahudi telah terbunuh. Pasukan Syeikh Izzuddin Al-Qassam meneruskan penyerangannya dan menyebarkannya ke seluruh wilayah pergunungan. Setelah pasukan Inggeris yang bekerjasama erat dengan Zionis bertindak menyempitkan ruang geraknya di Haifa, maka Syeikh Izzuddin bersama enam orang sahabat karibnya berpindah ke daerah pergunungan pada tahun 1935. Pasukan ketenteraan yang beliau bentuk mencapai jumlah seramai 200 orang. Dari jumlah tersebut beliau membahagikannya kepada beberapa kelompok. Setiap kelompok terdiri daripada lima orang dan salah seorang daripada mereka akan diangkat sebagai pemimpin dan pemberi arahan. Dalam tempoh yang agak singkat, pasukannya bertambah bilangannya dan mencapai keanggotaan seramai 800 orang. Setiap unit yang asalnya terdiri daripada lima orang membesar menjadi sembilan orang.

Rancangan berjalan sebagaimana yang diharapkan. Di tahun 1935, Syeikh Izzuddin dalam usianya yang telah mencapai 60 tahun keluar pada satu malam dengan mengenakan pakaian pejuang setelah meninggalkan pakaian tokoh agama. Beliau mengumpulkan anggota keluarganya lantas memberitahu niatnya dan menjanjikan untuk berjumpa di syurga.

Pada pagi Rabu tanggal 20 November 1935 bertempat di Kota Ashrasy Ya’bad, Kota Jenin, Palestin terjadilah pertempuran atau peperangan yang tidak seimbang antara ratusan pasukan Inggeris yang bersenjatakan lengkap dengan bantuan helikopter serta pesawat menggempur sepuluh orang mujahidin pimpinan Syeikh Izzuddin dengan sebarang kekurangan dari segi persenjataan. Dalam tragedi yang penuh menyayat hati itu, Syeikh Izzuddin Al-Qassam memerintahkan pasukannya untuk memilih mati syahid daripada berundur, ketika mana para mujahidin telah dikepung oleh pasukan Inggeris itu. Akhirnya Syeikh Izzuddin Al-Qassam bersama sembilan orang pasukannya meraih kematian yang dimuliakan dan menjadi cita-cita seorang mujahid iaitu syahid yang menjemputnya menemui Tuhannya. Dalam poket baju Syeikh Izzuddin terselit mashaf Al-Quran yang menjadi sumber inspirasi seorang muslim.

Umat Islam di Palestin dan seluruh dunia melakukan solat jenazah ghaib untuk beliau. Jenazah As-Syahid Izzudin Al-Qassam dengan bajunya yang berlumuran darah dibawa oleh ribuan pencintanya ke perkuburan di kampungnya. Gugurnya beliau telah mencetuskan lebih banyak penentangan, pergolakan dan bantahan terhadap penjajahan Inggeris dan Zionis terhadap bumi Palestin.

Puluhan tahun telah berlalu hingga waktu ini. Persoalan yang perlu kita tanya, di mana musuh-musuh yang memusuhi perjuangan Syeikh Izzuddin? Di mana mereka yang membunuh Syeikh Izzuddin dan teman-temannya? Mereka hanya mampu membunuh jasad Syeikh Izzuddin tapi gagal mematikan roh perjuangan beliau dan teman-teman yang lain. Di manakah pula Syeikh Izzuddin dan teman-temannya berada sekarang? Tanpa syak dan ragu-ragu, dengan penuh keimanan kepada Allah dan ayat suci-Nya dalam kitab Al-Quran yang kita imani bahawa orang-rorang yang mati syahid tidak mati bahkan mereka hidup di sisi Allah s.w.t malahan diberikan rezeki. Alangkah bertuahnya Syeikh Izzuddin dan teman-temannya kini dalam rahmat Allah, sementara merana dan sengsara pula musuh-musuh mereka diazab oleh Allah.

Jasa Syeikh Izzuddin Al-Qassam sentiasa dikenang oleh orang-orang Islam terutamanya di Palestin. Nama beliau diabadikan oleh HAMAS dengan menamakan sayap ketenteraannya serta pada senjata dan bendera mereka. Mari sama-sama kita sedehkan al-Fatihah kepada beliau serta teman-teman beliau yang lain. Semoga kita semua akan dihimpunkan di akhirat kelak bersama-sama beliau serta syuhada’ yang lain. Amin.

Sumber: http://www.pmram.org/

One Response to “Murabbi Sufi Agung Yang Syahid”

  1. Although from different places, but this perception is consistent, which is relatively rare point!nike dunk

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: